Kunjungan Hormat Ahli Jawatan Kuasa Utama Koperasi Rakyat Kelantan Berhad

 

KOTA BHARU 5 Sept – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Aziz Yunus menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Utama Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRK) di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Bangunan PKINK di sini, hari ini.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi KRK, Mohd Sabri Abdullah itu adalah bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama di antara KRK dan PKINK serta anak-anak syarikatnya, khususnya dalam rangka merakyatkan kemakmuran ekonomi Kelantan melalui amalan dan budaya koperasi.

Pada pertemuan itu juga, KRK bercadang untuk bekerjasama dengan PKINK, khususnya dalam sektor gadaian Islam Ar-Rahn. Perbincangan antara lain turut menyentuh isu-isu berkaitan formula bagaimana pihak KRK dapat mengambil langkah-langkah yang wajar bagi meningkatkan jumlah pelaburan dan ahli yang melibatkan rakyat seluruh negeri.

Dengan rekod prestasi kewangan KRK yang baik setakat ini, tidak mustahil hasrat tersebut dapat direalisasikan dengan sokongan daripada semua pihak.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi KRK, Wan Yahya Wan Salleh, Ahli Lembaga Koperasi, Zaililah Hassan dan Pengurus KRK, Suziana Mohd Azmi.

Kunjungan Hormat Ahli Jawatan Kuasa Utama Koperasi Rakyat Kelantan Berhad

 

LINK : http://www.pkink.gov.my/kunjungan-hormat-ahli-jawatan-kuasa-utama-koperasi-rakyat-kelantan-berhad/