Blog

Home Blog DARI RUANG BERITA KARANGKRAF

DARI RUANG BERITA KARANGKRAF

Nurkhuzaini memotong riben sebagai simbolik merasmikan Ar Rahn Losong.

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bakal mengadakan Hari Keusahawanan bagi menyalurkan segala maklumat berhubung kemudahan yang sesuai diguna pakai usahawan untuk memulakan atau mengembangkan lagi perniagaan mereka ke tahap lebih baik pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Makro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Hari Keusahawanan itu akan diadakan bermula minggu ketiga Julai ini.

Menurutnya, program melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu akan diadakan di setiap daerah secara bergilir dan Besut akan menjadi daerah pertama melaksanakannya.

“Di bawah Exco keusahawanan, YPU yang menjadi agensi utama dan saya mendapati bawah YPU ini banyak segmen yang boleh tolong dari segi keusahawanan cuma di peringkat kita (kerajaan dahulu) ia gagal di peringkat pemasaran. Maksudnya orang kampung di peringkat bawah ini, banyak sangat hendak tahu dan dapatkan maklumat daripada YPU tetapi tidak tercapai.

“Jadi ini pendekatan yang saya buat dan kebetulan dah dapat maklumat daripada pihak kewangan dah lulus untuk kita buat sehari bersama usahawan iaitu Hari Keusahawanan di setiap daerah dan akan mula di Besut pada minggu ketiga bulan Julai,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Perasmian Ar Rahn Losong dan Hari Raya Aidilfitri, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Rakyat Kelantan Berhad, Mohd Sabri Abdullah.

Nurkhuzaini berkata, Hari Keusahawanan berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Majlis Daerah setempat dengan melibatkan 17 agensi seperti SME Corp, Bank Rakyat dan banyak lagi.

Menurut Adun Kota Putera itu, dengan adanya penglibatan daripada pelbagai agensi, penerangan secara terus dapat diberi kepada usahawan terlibat.

“Kita akan jadikan seperti ‘one stop centre’ pada masa itu (Hari Keusahawanan) bagi penerangan terus kepada usahawan kerana kita banyak kategori usahawan, ada yang baru nak berniaga, dah berniaga tapi nak kembangkan lagi dan usahawan peringkat besar yang mungkin nak beli mesin dan apa saja.

“Kebanyakan orang tak tahu saluran yang YPU ada dan ia cukup baik yang perlu diturunkan kepada masyarakat. Ini usaha saya dalam masa terdekat,” katanya.

LINK : https://www.karangkraf.com/berita/terengganu-bakal-adakan-hari-keusahawanan-di-setiap-daerah-1.851151